EMPAT BISIKAN MURNI TINGKAT IMAN DAN TAKWA. SAMBUNGAN...



Mendengar bisikan mengenai Allah.



Manusia mesti mencari sesuatu dalam hidupnya, mencari kebahagiaan dengan harta, ilmu, jawatan tinggi dan mereka mampu mencapai impian dengan baik. Namun, apabila semua sudah diperoleh hati menjadi tidak tenang, takut jatuh dan hilang segala-gala yang dimiliki. Semakin kabur jalan menuju kebahagiaan hakiki.


Rupa-rupanya harta dan pangkat tidak mampu memberi kebahagiaan sebenar bahkan menjerumuskan ke jurang azab dunia yang lebih dalam. Akhirnya mereka menemukan jawapan terhadap permasalahan dihadapi.


Saat harta tidak mampu menyelamatkan diri daripada penyakit, maka mereka kembali kepada Allah yang Maha Menyembuh, ketika pangkat tidak boleh menutupi jenayah daripada undang-undang manusia, baru hati tergerak mencari pertolongan Allah Yang Maha Pengampun. Hanya Dia yang mampu menutup aib hamba-Nya.


Saat genting melihat kelibat Malaikat Izrail baru mencari rahmat Allah. Ketenteraman hati hanya dapat dirasai dengan meletakkan diri, harta dan kedudukan sentiasa berdampingan bersama Allah. Jika diri mahu berasa kuat berdampinganlah dengan yang Maha Kuat, apabila mahu menjadi manusia yang tahan cabaran dan ujian, sentiasa cekal dan tidak habis tenaga memenangi perlawanan dengan syaitan serta hawa nafsu sendiri.


Ambil kekuatan itu dengan berada di sisi Yang Maha Berkuasa ke atas seluruh makhluk. Ketika kita semakin dekat dan mengenali sifat-Nya, nama-Nya yang agung dan perbuatan-Nya yang tidak cacat cela ke atas makhluk, kemudian hati pun tunduk dan mengagumi kesempurnaan-Nya, kita semakin hampir ke jalan bahagia yang sebenar.


Bisikkan hati supaya mengenali Allah, sebelum anda dibisikkan oleh syaitan yang menakutkan mengenai kemiskinan, kerugian dan kejatuhan. Sesungguhnya syaitan mempengaruhi manusia supaya mengikuti pandangannya dan mengambil langkah yang disyorkannya.


Selepas mengenal sifat Allah, nama-Nya yang indah dan perbuatan-Nya terhadap makhluk yang tiada cacat cela, kita dituntut mendengar bisikan hati mengenai kurniaan Allah sepanjang hidup ini.


Ketika kita kerugian harta puluhan ribu ringgit sehari, ada kala kita tidak ingat Allah memberi banyak lagi daripada yang diambil-Nya. Ketika anak sakit seminggu adakah kita bersyukur kerana Allah memberi kesihatan kepadanya selama bertahun-tahun? Banyak lagi perkara ajaib dan hebat di sekitar kita yang menunjukkan kebesaran Allah. Tidak cukup masa kita untuk memikirkan mengenai Allah kerana ilmu-Nya tidak tercapai oleh akal manusia yang terbatas.




Mendengar bisikan mengenai aib diri.





Bisikan yang baik untuk hati manusia ialah suara yang menyatakan aibnya secara telus dan terang. Bisikan ini berasal daripada malaikat yang sentiasa mengingatkan banyaknya cacat cela manusia supaya mereka malu dan takut kepada Allah kemudian berusaha memperbaiki kelemahan diri.




Mendengar bisikan banyaknya kewajipan dan sedikitnya masa.





Dalam keadaan lalai, manusia lupa betapa banyak tanggungjawab dan berat amanah yang mesti digalas. Sikap suka melengahkan amal pernah dialami seorang sahabat yang tertinggal dalam Perang Tabuk melawan Rom. Ka’ab Malik dan dua lagi sahabat Rasulullah SAW tertinggal daripada pasukan dipimpin Rasulullah SAW. Ka’ab menceritakan selepas Rasulullah SAW keluar dari Madinah, dia tertinggal dan setiap pagi dia memasang pelana kudanya dan berkata: “Aku akan menyusul mereka”, tetapi dia tidak melakukannya, dia berbuat begitu setiap hari sehingga akhirnya dia tidak dapat menyusul tentera Rasulullah SAW.


Hal itu adalah dalih apabila seseorang tidak bersegera melakukan amal salih, dia akan terhalang daripada melakukannya. Sebab itu Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (begitu pula) kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya (al-Quran) pada permulaannya, dan kami biarkan mereka bergelumang dalam kesesatannya yang sangat.” (Surah al-An’am, ayat 110)


Ka’ab dan dua sahabatnya dihukum dengan cara dipulaukan selama 40 hari. Sesiapa pun tidak boleh bercakap dengan mereka dan menyahut salam mereka. Ditambah hukuman itu 10 hari lagi dengan tidak boleh bercampur dengan isteri, sehingga hari ke-50 diterima taubat mereka dengan turunnya ayat 117-119 surah al-Taubah.


Hati yang suka mendengar bisikan dari langit, bertemankan malaikat yang menasihati kebaikan dan ketaatan adalah hati yang bersih dan layak dijatuhi pandangan rahmat-Nya.




Sumber Dari Halaqah.net

Posted in Labels: |

0 comments: