Pahlawan Syurga: Utbah bin Ghazwan

Gambar Hiasan Utbah bin Ghazwan berperawakan tinggi dengan muka bercahaya dan rendah hati, termasuk angkatan pertama memeluk Islam, termasuk antara Muhajirin pertama berhijrah ke Habsyah dan Madinah. Beliau termasuk pemanah pilihan yang jumlahnya tidak ramai, yang telah berjasa di jalan Allah. Beliau ialah orang terakhir daripada tujuh kumpulan pelapis yang baiah berjanji setia dengan berjabat tangan Rasulullah dengan tangan kanan.

Hari pertama memulakan dakwah Utbah dan rakan-rakan menempuh kesusahan serta penderitaan. Beliau antara yang diperintah berhijrah ke Habsyah tetapi kerana rindunya kepada Rasulullah, beliau kembali ke Makkah untuk hidup di sisi baginda hingga berlakunya hijrah ke Madinah.

Sejak orang Quraisy melakukan gangguan dan melancarkan peperangan, Utbah selalu membawa panah serta tombaknya. Beliau pemanah yang hebat dan setelah Rasulullah wafat, Utbah tidak mahu meletakkan senjatanya dan tetap berperang di jalan Allah.

Amirul Mukminin Umar menghantar Utbah ke Ubuilah untuk membebaskan negeri itu daripada tentera Parsi yang hendak menjadikannya gerbang untuk menghancurkan kekuatan Islam yang sedang tersebar ke wilayah jajahan Parsi.Gambar Hiasan

Ketika pasukannya yang kecil berdepan bala tentera musuh yang terkuat, Utbah berseru: “Allah Maha Besar, Dia menepati janji-Nya.” Ternyata benarlah janji Allah, tidak lama selepas itu berlaku pertempuran dan Ubuilah dapat ditundukkan.

Di sana Utbah membangunkan Kota Basrah dan membina sebuah masjid besar. Kemudian beliau berhajat untuk kembali ke Madinah tetapi Umar memerintahkan beliau memimpin pemerintahan di sana.

Utbah mentaati perintah Umar dan membimbing rakyat menunaikan solat, mengajar masalah agama, menegakkan hukum Allah dengan adil serta memberi contoh mengenai hidup yang zuhud, warak serta sederhana. Dengan tekun dan hikmah beliau mengubah cara hidup mewah dan berlebihan hingga menimbulkan kemarahan mereka yang mengikut kehendak nafsu.

Gambar HiasanUtbah sangat takut kepada dunia yang akan merosakkan agamanya dan kaum Muslimin. Ramai yang cuba mempengaruhi beliau supaya hidup seperti pemerintah lain yang menghargai kemewahan zahiriah tetapi katanya: “Aku berlindung diri dengan Allah daripada sanjungan orang terhadap diriku kerana kemewahan dunia, tetapi kecil pada sisi Allah.”

Apabila tiba musim haji, Utbah pergi menunaikannya dengan mewakilkan pemerintahan Basrah kepada seorang kawan. Selepas selesai haji, beliau menghadap Umar di Madinah dan minta izin untuk mengundurkan diri daripada pemerintahan. Permintaan itu ditolak.

Pada saat untuk kembali ke Basrah, Utbah menghadap kiblat dan mengangkat dua tangan memohon kepada Allah supaya dia tidak dikembalikan ke Basrah. Doanya diperkenankan, dalam perjalanan ke Basrah, Allah menjemput beliau ke pangkuan-Nya.

LiveJournal Tags:

Sumber: Buku Siri 100 Pahlawan Syurga - Jilid 2

Posted in Labels: |

0 comments: