ISTIQAMAH
Posted On Thursday, July 18, 2013 at at 2:17 PM by BlogAdmin
Istiqamah bermaksud menuruti jalan yang lurus, iaitu jalan tanpa
bengkang-bengkok meliputi segenap perbuatan taat sama ada yang zahir atau batin
serta meninggalkan segala yang dilarang Allah SWT.
Kebiasaannya, istiqamah menyusul selepas beriman kepada Allah kerana iman
adalah asas kepada keutuhan istiqamah. Tanpa iman yang utuh, tiada istiqamah
dalam diri seorang Muslim.
Dalam kamus bahasa, istiqamah diertikan sebagai
sikap teguh pendirian dan sentiasa konsisten.
Saidina Abu Bakar RA ketika ditanya mengenai istiqamah menjawab bahawasanya:
“Istiqamah adalah kemurnian tauhid (tidak boleh menyekutukan Allah dengan apa
dan siapapun).”
Umar Al Khattab RA pula menyatakan bahawasanya: “Istiqamah adalah kamu
berdiri di atas perintah dan larangan dan tidak terumbang ambing seperti musang
(yang berlari ke sana ke mari).”
Sementara itu, Usman bin Affan RA
menyifatkan istiqamah sebagai: “... mengikhlaskan amal kepada Allah SWT.”
Secara mudahnya, istiqamah dapat difahami sebagai melakukan perkara baik
secara berterusan dan ikhlas kerana Allah hanya untuk mencapai keredaan Allah
SWT.
Namun dalam realitinya, istiqamah sukar diterjemahkan kerana diancam
oleh pujukan hawa nafsu, disangsikan pula oleh bisikan syaitan. Oleh itu,
kadangkala kita menjadi keliru dan was-was dengan jalan dipilih.
Apatah lagi
apabila melaksanakan sunnah Rasulullah SAW atau syariat Allah pada akhir zaman
ini yang diibaratkan umpama menggenggam bara api, sekali gus membuatkan kita
kadang kala dipandang jelek dan kolot.
Ada orang yang berhijrah daripada
tidak menutup aurat kepada menutup aurat, tetapi kemudian membuka kembali
auratnya kerana berasa tidak yakin dengan penampilannya di dalam masyarakat
selain tidak tahan mendengar ejekan sinis orang sekeliling.
Begitu juga
apabila berbicara mengenai istiqamah dalam masyarakat umat Islam. Umat Islam
yang beristiqamah adalah keadaan di mana seseorang itu melaksanakan tuntutan
agama dalam pegangan akidah, kepercayaan, ibadah dan perlakuan tanpa keraguan
terhadap apa diwahyukan Allah melalui Rasul-Nya.
Pendek kata, melaksanakan
semua tuntutan Allah tanpa memilih mana yang sesuai dengan alasan mengikut
peredaran zaman.
Bukti istiqamah ini dirakam oleh Allah SWT dalam ayat 162
surah Al-An’am bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) Sesungguhnya solatku,
ibadatku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam.”
Istiqamah juga diungkapkan sebagai mencapai atau merealisasi tujuan kejadian
manusia. Perkara ini disebut oleh Allah dalam surah Az-Zariyat, ayat 56
bermaksud: “Tidak Aku (Allah) menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk
menyembah (beribadat) kepada-Ku.”
Selain itu, seperti dibicarakan di atas,
istiqamah juga bererti menerima segala hukum-hakam Allah dalam al-Quran dan apa
yang dijelaskan Rasulullah SAW dengan pasrah dan bersungguh-sungguh.
Hakikat
ini diperjelaskan oleh Allah menerusi surah al-Ahzab, ayat 36, bermaksud: “Dan
tidaklah patut bagi lelaki beriman dan tidak pula bagi wanita beriman, apabila
Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan
(yang lain) mengenai urusan mereka.”
Di dalam kehidupan kita sebagai seorang
Muslim, ada beberapa panduan bagaimana untuk kita menuju kepada istiqamah.
Antaranya:
1. Kesedaran dan kefahaman benar mengenai Islam.
Untuk
mencapai darjat istiqamah secara maksimum, seseorang itu memerlukan pemahaman
terhadap Islam secukupnya. Muslim yang memahami ajaran agamanya dengan baik
tidak akan bimbang menjalani kehidupan dunia. Mereka akan tetap istiqamah
menghadapi badai godaan walau seteruk mana sekalipun ia datang menggoncang.
Pemahaman mengenai Islam yang tidak sempurna hanya membawanya ke jalan sesat.
2. Mendekatkan diri kepada Allah dan merasakan pengawasan-Nya.
Dua perkara ini sangat penting. Ketika seorang Muslim merasa dekat dengan
Allah, ke mana pun ia pergi, di mana pun ia berada dan bagaimana pun situasi dan
keadaannya, dengan keyakinan penuh ia akan sentiasa merasa diawasi dan dilihat
oleh Allah. Dengan begitu, seseorang itu tidak lagi berani menyimpang dari
jalan-Nya.
Allah SWT berfirman menerusi surah Al-Baqarah, ayat 235,
bermaksud: “Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang ada dalam
hatimu; Maka takutlah kepada-Nya, dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun
lagi Maha Penyayang.”
3. Bergaul bersama orang soleh dan
beristiqamah.
Ini sangat membantu seseorang untuk sentiasa istiqamah di
jalan Allah SWT. Teman yang soleh akan sentiasa mengingatkan kita untuk berbuat
baik serta mengingatkan kita daripada kekeliruan.
Bukan bermaksud memutuskan
hubungan silaturahim dengan mereka yang tidak menampilkan ciri-ciri Islamik,
tetapi hanya cuba lebih rapat dengan mereka yang soleh supaya kita tidak
tergelincir daripada landasan sebenar istiqamah.
Antara cara terbaik bagi mewujudkan sikap istiqamah dalam diri adalah apabila seseorang itu sentiasa memohon pertolongan Allah dalam segala urusan dan keadaan.
Ummu Salamah RA mengatakan, bahawasanya ada satu doa yang sering dibaca serta diamalkan oleh Rasulullah SAW yang berbunyi: “Yaa muqallibal qulub tsabbit qalbi ‘ala diinik”
Doa ini bermaksud: “Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Hakim serta disahkan sahih oleh Az Zahabi di dalam kitab Shahihul Jami’)
Semoga dengan sedikit penerangan mengenai sifat istiqamah ini, kita semua dikurniakan jalan lurus untuk mencari keredaan Allah SWT sebagaimana hakikatnya yang mengatakan: jika mengimpikan syurga, jangan sekali-kali mengimpikan jalan luas untuk ke sana.