Perjalanan Tauhid Nabi Ibrahim A.S
Posted On Wednesday, March 6, 2013 at at 12:49 PM by BlogAdmin
Nabi Ibrahim adalah rasul yang mendapat gelaran Ulul Azmi iaitu rasul yang mempunyai keazaman dan kesabaran yang tinggi dalam menyampaikan dakwah dan menyempurnakan tanggungjawab kerasulan. Baginda menempuh pelbagai kesukaran dalam menyampaikan seruan Ilahi kepada kaumnya.
Baginda dilahirkan dalam keluarga yang kuat ‘beragama’. Kerjaya bapa Baginda sebagai pengukir berhala memberikan kedudukan yang amat dihormati dalam masyarakat ketika itu.
Persoalan yang hendak ditimbulkan di sini ialah Nabi Ibrahim sendiri sangsi dengan kemampuan ‘tuhan’ yang diukir bapanya. Adakah ‘tuhan’ ini mampu mendatangkan mudarat atau manfaat kepada penyembahnya? Begitu juga dengan perlindungan yang diharapkan daripada ‘ tuhan-tuhan’ tersebut, adakah mereka mampu memberikannya?
Dari sini timbul rasa sangsi dalam diri Nabi Ibrahim. Baginda mula mencari jawapan kepada persoalan yang semakin menghantui dirinya. Perkara yang menarik berlaku apabila Baginda mula memerhatikan alam. Melihat bintang yang bercahaya dengan indah, maka baginda memperakukan ‘ketuhanan’ bintang, tetapi tatkala bulan menelan cahaya bintang, Baginda menukar perakuan kerana bagi Baginda, tuhan tidak boleh ditelan oleh yang lain atau lenyap dibayangi oleh yang lain.
Begitulah perjalanan ketauhidan baginda sehinggalah Baginda menemui kebenaran menerusi hidayah yang diberikan Allah. Baginda kembali kepada kaumnya bagi menyampaikan dakwah dan menyelamatkan mereka daripada kesesatan.
Usaha Baginda mendapat penentangan yang hebat daripada kaumnya. Perdebatan siapakah tuhan semakin hangat. Cabaran yang diberikan ketika debat ‘ketuhanan’ oleh Nabi Ibrahim begitu bernas.
Mereka terkedu dan terdiam apabila Nabi Ibrahim meminta mereka bertanya kepada berhala yang terbesar mengenai siapa yang memecahkan berhala lain. Jika berhala tersebut gagal memberikan jawapan, maka sememangnya ia tidak layak untuk dipertuhankan. Perdebatan itu tidak berhenti di situ. Tatkala hujah mereka yang sesat dapat dipatahkan, maka mereka mengusulkan agar Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup.
Allah Maha Besar, Dialah yang menukar sifat api yang panas membakar kepada dingin lagi mendamaikan bagi menyelamatkan Rasul-Nya.
Nabi Ibrahim telah mendapat keyakinan yang kukuh lagi benar bagi berhadapan dengan kesesatan kaumnya. Baginda yang ketika ini masih muda beroleh kekuatan daripada hidayah yang diberikan Allah.