Showing posts with label Taubat. Show all posts
Showing posts with label Taubat. Show all posts

TAUBAT

Sebagai insan yang lemah, kita sering melakukan kesalahan dan kesilapan dalam kehidupan seharian. Selepas Ramadan yang lalu, kita tidak boleh menafikan bahawa kita ada melakukan pelbagai dosa dan kesilapan. Kita pernah melakukan dosa terhadap isteri, suami, anak-anak, sahabat dan sebagainya.
Maka, bertaubat adalah cara yang digariskan bagi menebus semula kesalahan dan dosa dilakukan, sesuai dengan sabda Rasulullah SAW. Dari Saidina Anas ra yang bermaksud: “Semua anak Adam berdosa, maka sebaik-baik orang yang berdosa ialah bertaubat.” (Riwayat Ahmad).

Gambar HiasanMenurut Ibnu Abbas ra, taubat adalah menyesal dengan hati, beristighfar dengan lidah, meninggalkan perbuatan maksiat dengan anggota tubuh dan berazam dengan kukuh dalam hati tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. Secara ijmak, ulama sepakat bahawa hukum bertaubat adalah wajib kerana dosa dan perbuatan maksiat itu dapat membinasakan iman dan menjauhkan diri daripada Allah SWT.

Sesungguhnya kewajipan taubat diulang Allah SWT dalam kitab suci al-Quran, antaranya dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu kepada Allah wahai sekalian orang Mukminin, semoga kamu mendapat kemenangan”. Berdasarkan ayat itu, maka kita perlulah menyedari kesalahan yang dilakukan sepanjang kita hidup ini. Kita hendaklah bertaubat dan meminta keampunan daripada Allah SWT agar kehidupan kita menjadi tenang dan aman.

Malah, Allah turut memberi amaran mereka yang tidak bertaubat adalah termasuk ke dalam golongan yang menzalimi diri sendiri seperti firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud: “Siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itu adalah orang-orang yang aniaya.” Dalam Surah al-Baqarah ayat 222, umat Islam amat digalakkan bertaubat kerana ia adalah simbol kepada pembersihan diri daripada dosa. Ayat al-Quran itu bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertaubat dan suka kepada orang yang membersihkan diri.”

Menyentuh soal taubat, Luqman al-Hakim pernah berwasiat kepada anaknya: “Wahai anakku, janganlah engkau tangguhkan bertaubat, sesungguhnya mati itu akan datang dengan tiba-tiba.”  Sebagai umat Islam yang wajib menumpahkan taat setia kepada ajaran yang diperintahkan, perbuatan taubat perlu disegerakan selagi diberi peluang menikmati saki baki kehidupan di alam fana ini. Gambar Hiasan

Elakkan daripada tabiat suka menangguhkan taubat kerana Baginda Nabi Muhammad SAW tidak menyukai orang yang menangguhkan taubat sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Binasalah orang yang mengatakan esok saya akan bertaubat.” Sesungguhnya taubat yang paling baik adalah taubat nasuha sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 8 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan Taubat Nasuha (sebenar-benar penyesalan dan berazam tidak mengulangi lagi perbuatan maksiat itu), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di dalam beberapa sungai.”

Justeru sebesar mana sekalipun dosa dan kesalahan yang pernah kita lakukan, sekiranya kita segera memohon keampunan Allah SWT, nescaya Allah akan mengampunkan kita kecuali dosa syirik. Betapa hebatnya sifat al-Ghaffur (Maha Pengampun) Allah di mana mereka yang bertaubat apabila melakukan kesalahan kedudukannya sama seperti tiada dosa lagi.

Jika dalam hati kecil kita masih belum tergerak untuk bertaubat, cubalah renungi kisah taubat Nabi Adam as selepas Baginda dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi. Baginda bertaubat dengan penuh kesungguhan dan ada riwayat yang mengatakan bahawa Baginda bertaubat selama 40 tahun dengan membaca doa yang bermaksud: “Ya Tuhanku, kami melakukan kezaliman terhadap diri kami dan jika Engkau tidak mengampunkan kami nescaya kami tergolong dalam orang-orang yang rugi.”

Begitu juga dengan Nabi Yunus as semasa Baginda berada di dalam perut ikan nun, Baginda senantiasa bertasbih dan bertaubat seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya ayat 87 bermaksud: “Ya Allah, tiada Tuhan lain melainkan Engkau, maha suci Engkau sesungguhnya aku termasuk dalam orang yang zalim.”

LiveJournal Tags:

Gambar Hiasan
NUKILAN: Asri Md Saman Pensyarah Di Jabatan Pendidikan Islam Dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra, Kedah Darul Aman.

Seterusnya...

Posted in Labels: | 0 comments

Taubat: Jalan Keredhaan Ilahi

Allah SWT sentiasa memberi peluang kepada hamba-Nya yang masih berbuat dosa untuk kembali ke pangkal jalan. Sesungguhnya Allah SWT masih memberi peluang kepada kita dan sekarang adalah waktu untuk kembali ke jalan-Nya. Firman Allah SWT: “Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah juga yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar, ayat 53)

Sesungguhnya Allah ingin meringankan beban kita di akhirat kelak. Adakah kita bergegas untuk bertaubat atau mengambil sikap tunggu dan lihat. Jika itu pilihannya, ternyata kita masih memiliki sifat ego atau kesombongan dalam diri. Mungkin ramai dalam kalangan kita mengambil sikap diam membisu dan ini akan memburukkan keadaan serta menghancurkan harapan yang telah dibina. Perlu kita sedari, Nabi Muhammad SAW yang bersifat maksum selalu memohon keampunan daripada Allah SWT.

Bagaimana dengan kita? Rasulullah SAW bersabda: “Aku adalah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu semua, yang paling akrab dengan Allah, namun demikian sesungguhnya aku meminta ampun (istighfar) lebih daripada 70 kali dalam sehari semalam kepada Allah.” (Riwayat Ibnu Majah). Apabila Rasulullah SAW yang terpelihara daripada dosa sentiasa memohon keampunan, maka berapa banyak permohonan keampunan perlu kita mohonkan selama 24 jam sebagai manusia yang banyak berbuat dosa?

Sesungguhnya Allah amat bergembira jika hamba bertaubat dan kembali kepada-Nya. Untuk membuktikan dengan jelas bahawa dosa yang dilakukan seseorang mungkin memberi kesan kepada seluruh umat, kita renung kembali kisah berlaku antara Nabi Musa dan kaum Bani Israil.

image Ketika Nabi Musa berada di satu tempat yang sedang mengalami kemarau amat teruk, penduduk di situ meminta Nabi Musa untuk mendirikan solat Istisqa. Setelah solat, Nabi Musa mengangkat dua tangannya berdoa kepada Allah supaya menurunkan hujan untuk manfaat manusia, haiwan dan tumbuhan di kampung itu.  Namun Allah tidak memperkenankan doanya. “Ya Rabb, Engkau selalu memperkenankan doaku,” kata Nabi Musa. Allah menjawab: “Antara kamu sekalian ada seseorang sejak 40 tahun melakukan maksiat. Hujan tidak akan turun kecuali setelah ia menjauhkan diri daripada kamu sekalian.”
Nabi Musa kemudian menyampaikan perkara itu kepada kaumnya. Di kalangan kamu ada seseorang yang melakukan maksiat. Allah tidak akan menurunkan hujan sehingga orang itu keluar dari kawasan ini. Lelaki itu mendengar apa yang Nabi Musa dan menyedari bahawa dialah yang dimaksudkan. Namun, dia masih berharap ada orang selain daripada dirinya. Bagaimanapun, tidak ada seorang pun yang mengaku.
“Ya Rabb, jika aku keluar, bererti aku telah memalukan diriku sendiri dan jika aku kekal di sini, bererti kaum aku akan mati kehausan. Ya Rabb, lindungilah aku, ampunilah aku. Mulai detik ini aku akan bertaubat kepadamu Ya Rabb,” katanya dalam hati.
Tidak lama kemudian hujan pun turun. “Ya Rabb, hujan telah turun, tetapi tidak ada seorang pun yang keluar.” Nabi Musa agak kebingungan. Allah memaklumkan kepada Nabi Musa bahawa orang itu telah bertaubat, “Hujan turun kerana taubat hamba-Ku yang selalu melakukan maksiat.”
Nabi Musa memohon ditunjukkan orang itu tetapi jawapan diterimanya: “Aku telah menutup aibnya ketika melakukan maksiat dan aku tidak akan memalukannya setelah bertaubat.”

Perbuatan dosa seseorang boleh membinasakan satu kaum dan taubat yang dilakukan oleh seseorang itu juga dapat menyelamatkan satu kaum dan begitulah Maha Pengasih dan Maha Pengampunnya Allah SWT.
Dalam kisah lain, diriwayatkan seorang Badwi datang berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya: “Aku telah melakukan dosa, apakah Allah akan menerima taubatku? Jawab Rasulullah: Tentu. Tanya lelaki itu lagi: Jika aku kembali melakukannya. Baginda menjawab: Akan ditulis dalam catatan kejahatan. Lelaki itu berkata lagi: Kemudian jika aku bertaubat. Rasulullah menjawab: Allah akan menghapuskannya. Lelaki itu bertanya lagi soalan yang sama dan baginda memberi jawapan yang sama hingga lelaki itu bertanya: Sampai bila akan dihapuskan dosa?. Rasulullah berkata: Allah tidak pernah bosan untuk mengampunkan dosa hamba-Nya.”

Marilah kita bertaubat kepada Allah. Janganlah kita terus melakukan maksiat. Taubat adalah anugerah Allah yang terbesar kepada kita dan semoga kita akan meraih syurga-Nya bersama orang yang terpilih.

LiveJournal Tags:
Seterusnya...

Posted in Labels: | 0 comments